Isnin, 28 Mac 2011

Bagaimana Mengatasi Riak / Takbur?



RIYA' (riyak) iaitu perkataan Arab yang terbit dari kata kerja ra'a, yura'i, yang turut dituturkan dalam masyarakat Melayu, merujuk kepada suatu perlakuan, sifat dan sikap yang buruk.

Ia boleh diertikan sebagai memperlihatkan, menunjuk-nunjuk, menonjolkan atau mempamerkan amalan dilakukan kepada yang lain dengan tujuan mendapat tempat di hati mereka.

Berdasarkan al-Quran dan hadis, ulama sepakat riya' hukumnya haram termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai ibadat.

Antaranya, nas yang bermaksud: "Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia (semata-mata) dan perhiasannya, Kami (Allah) tunaikan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka di dunia (ini sahaja) dan mereka tidak dirugikan.

"Itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan." (Al-Quran, Hud:15)

Beberapa perkara penting dijelaskan dalam ayat terbabit, antaranya perbuatan syirik dan tujuan keduniaan, malah perhiasannya yang merosakkan nilai amalan soleh dan ibadat.

Nabi s.a.w melalui hadisnya ada memberikan penjelasan susulan, seperti hadis dari Abu Hurairah r.a, maksudnya: "Aku (Allah) adalah Yang Terkaya (secara mutlak) dari disekutui (dikongsi). Maka sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang disekutukan bersama-Ku dalam amalan terbabit dengan yang selain dari-Ku, Aku tinggalkan bersama sekutunya."

Memang Allah Terkaya, manakala yang lain adalah fakir serta bersifat serba kekurangan dan lemah, sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Dengan sifat yang melebihi segalanya pada Allah, tidaklah layak sama sekali untuk-Nya menerima suatu amalan yang disekutukan dengan selain-Nya.

Justeru, kesempurnaan dan kekayaan-Nya yang mutlak itu memastikan segala amalan dihadapkan niat dan tujuan kepada-Nya sahaja.

Menurut ulama, setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan riya' adalah rosak dan terhapus nilai pahalanya, bahkan boleh menyebabkan dosa.

Tetapi nilai dosa dari perbuatan riya' berbeza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riya' dan berbeza mengikut kelainan tujuan perbuatan terbabit.

Ulama memperincikan riya' kepada beberapa peringkat:

1. Riya' yang jelas iaitu yang menjadi pendorong kuat kepada amalan dan ibadat seseorang. Jika tidak kerana adanya riya', seseorang itu tentu tidak melakukan amal ibadat terbabit.

2. Riya' yang tidak jelas dan tersembunyi. Jika kerana riya' saja dia tidak melakukan ibadat, misalnya seorang yang biasa bersolat tahajud, kadangkala diselubungi kemalasan, tetapi apabila ada teman atau tamu bangun beribadat malam dia menjadi rajin pula.

Ibadatnya itu didorong sedikit oleh riya' yang tidak jelas dari dalam dirinya. Riya' yang tidak jelas ini menurut ulama, tidak membatalkan pahala asal, tetapi menjejaskan nilai pahalanya mengikut kadar riya' terbabit.

3. Riya' yang lebih tersembunyi dan terlalu samar. Riya' ini bukan yang mendorong amal ibadat atau berasa ringan untuk beribadat, namun sifat itu terpendam di dalam diri.

Jenis ini hanya boleh diketahui dan dikenali melalui tandanya seperti berasa bangga dengan pujian.

Misalnya, seseorang itu melakukan ibadat secara ikhlas, tanpa ada dorongan riya', malah benci kepada sifat terbabit, tetapi apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira.

Jika gembiranya semata-mata sebagai tabiat fitrah manusiawi dan tidak mengharapkan amalannya itu diketahui orang, riya' seperti ini tidaklah merosakkan pahala amalan terbabit.

Ada yang lebih tersembunyi dari itu, hanya dapat disedari mereka yang mempunyai hati bersih lagi halus sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w bahawa riya' lebih tersembunyi daripada rayapan kaki semut hitam di waktu malam.

Semua ini untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada daripada terperangkap dengan riya'.

Jika mengatasi riya' yang jelas, belum tentu terselamat dari riya' yang kurang jelas, malah jika di peringkat terbabit janganlah pula berasa diri terselamat dari segala bentuk riya'.


banyakkan berdoa mintak di jauhkan perassaan riak tu...
tu semua tipu daya syaitan untuk menghalang kite dari buat kebaikkan...
Allah tahu ape niat kite....
tenkiu kt kekawan yg sudi membce entry kt cni..like klo ske bce

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Tinggalkan Komen Disini

Copyrigt@Segala Yang Tercatat diatas adalah untuk Renungan Bersama